Advertisement
Published: December 22nd 2015
Edit Blog Post
Bandung bukan sekadar tarikan pelancong tetapi juga destinasi pilihan untuk persekitaran yang tenang dengan panorama yang indah.
Bandar ketiga terbesar di Indonesia dan terkenal dengan jolokan 'Parijs van Java' (Paris di Jawa) oleh pemerintah Belanda pada ketika itu. Ia menyamakan perbandingan Bandung dengan keindahan Kota Paris di Eropah. Tidak lama dahulu Bandung pernah menjadi kawasan kediaman bagi warga asing kerana persekitaran tanah tingginya yang sesuai untuk bersantai.
Bandung memang terkenal sebagai syurga membeli-belah dan menjadi tumpuan 'kaki shopping' pada hujung minggu termasuk dari Jakarta. Jadi, cuba elakkan memasuki Kota Bandung pada cuti hujung minggu mulai Jumaat. Jika tidak, anda akan membazirkan banyak masa di jalanan dan setelah seharian, akhirnya anda cuma siap mengunjungi satu atau dua tempat sahaja. Jika anda 'kaki shopping' yang tegar, anda mungkin memerlukan sekitar 3-4 hari untuk membeli-belah di Bandung dan itu mungkin memadailah untuk setahun. Jangka masa hari tersebut tidak termasuk melawat tempat-tempat menarik disekitarnya seperti Gunung Berapi dan lain-lain.
FACTORY OUTLET - Inilah antara sebab utama ramai orang suka datang berbelanja di Bandung. Tidak lengkap lawatan ke Bandung jika tidak ke Jalan Setiabudi, Jalan Dago, Jalan Riau dan Jalan RE Martadinata. Dalam setiap kawasan tersebut anda boleh berjalan-kaki sahaja diantara deretan kedai
berjenama dengan penawaran yang sangat komprehensif. Penting dan harus anda ketahui ialah tidak kesemua pakaian berjenama yang ditawarkan adalah benar-benar asli. Ada antaranya tidak mempunyai label original atau ejaan hampir serupa, malah termasuk kedalam longgokan pakaian berjenama yang lain. Tidak kesemuanya menarik, dan ada antaranya mungkin boleh kita golongkan sebagai pakaian yang orang mungkin tidak mahu beli apalagi untuk dipakai. Jenama besar seperti Adidas, Nike, Mossimo, Dorothy Perkins, H&M, Ann Taylor dan Zara antaranya mungkin bukan kesemua yang asli. Namun jika berkenan dihati, adakah anda akan peduli dengan jenama?. Cuba sahaja dulu di Fitting Room bagi memastikan potongan yang sesuai, jenis kain yang selesa dan yang pentingnya harga juga menarik.
Senarai FO 'harus pergi' berdasarkan sambutan dan populariti ialah Rumah Mode (Jalan Setiabudi), Heritage, Stamp, The Summit, The Secret dan For Men (Jalan Riau). Namun ada banyak lagi gedung, butik dan kedai yang menjadi pilihan.
JEANS - Mereka yang menggemari jeans mungkin harus ke Jalan Cihampelas kerana di sini terdapat banyak tawaran yang nampak menarik. Namun hanya mereka yang benar-benar mengenal jeans tahu kualiti dan fesyen jeans yang sebenar. Jika anda datang dengan anak-anak, disini mungkin antara tempat yang agak menarik untuk dikunjungi kerana terdapat banyak
patung-patung Superhero menghiasi ruang.
Harus juga disenaraikan adalah daerah Cibaduyut yang terkenal dengan industri pembuatan kasut buatan tangan.
PAKAIAN TRADISI DAN BUSANA MUSLIM - Pasar Baru Bandung ialah sebuah pusat belanja paling komprehensif bagi mendapatkan aneka fesyen pakaian daripada pakaian tradisional, batik, busana muslim, kerudung, pakaian kanak-kanak, kasut hingga cenderamata dan ole-ole khas Bandung (wajik, dodol, basreng, peyeum, keripik) juga terdapat disini. Gedung 8 tingkat ini terletak di Jalan Otto Iskandar Dinata dan mempunyai ruang solat di tingkat 8 dan food court di tingkat 7.
MAKANAN SUNDA - Mereka yang menggemari makanan asli harus cuba ke Ciumbuleuit Atas dimana terdapat beberapa deretan saung (pondok). Disini anda boleh makan sambil menikmati udara sejuk dan pemandangan kota Bandung dari atas gunung. Antara yang terbaik ialah Saung Punclut Sangkan Hurip yang menyajikan makanan khas orang Sunda. Ataupun anda boleh juga ke Braga di mana pada setiap malam Ahad terdapat pesta makanan Bandung.
TIPS - Bagi warga Singapura, Brunei dan Malaysia, penawaran harga barangan di tanahair mungkin tidak semenarik di Bandung namun tidak kesemuanya disini berharga rendah. Pembeli yang bijak harus tahu perbandingan harga sebenar. Bandung bukanlah syurga 'harga rendah' tetapi pilihan penawaran yang pelbagai adalah antara sebab Bandung menjadi
pilihan. Sebenarnya kebanyakan FO di Bandung menawarkan jenis barangan yang sama kerana mereka mendapatkan barangan dari pusat pembuatan pakaian dan pengedar yang sama disekitar Bandung. Di bahagian luar gedung beli-belah dan kaki-lima juga terdapat gerai menjual cenderamata seperti T-shirt. Jika anda bukan warga tempatan biasanya harga yang ditawarkan adalah berlainan. Jadi, anda mungkin memerlukan sedikit 'skil' tawar-menawar. Akan tetapi skil tawar-menawar yang paling hebat harus digunakan semasa di Pasar Baru, kerana barangan disini dijual dengan harga jauh lebih tinggi disebabkan adanya permintaan dan kuasa belian para pelancong yang kebanyakannya dari Malaysia, Brunei dan Singapura yang berkunjung kesini. Jangan terperanjat jika anda juga boleh mendapatkan barangan yang sama ditempat lain dengan harga setengah lebih murah. Bagi yang akan berada di tempat yang bersesak-sesak seperti di Pasar Baru harus juga berhati-hati dengan pencopet.
Ketika pertama kali ke Bandung, saya tidak tahu apa yang dapat memotivasikan lawatan saya. Pada hakikatnya saya mahu pergi jauh keluar kota kerana menghargai keluar-biasaan pemandangan destinasi pelancongan yang hebat disini. Akan tetapi, sebahagian besar sahabat saya mahu pergi membeli-belah. Oleh kerana itu, maka saya menemui tiga asas Bandung sebagai destinasi pelancongan ialah membeli-belah, alam semula jadi dan adat budaya.
Tempat-tempat menarik di Bandung diulaskan dalam artikel
yang berasingan.
Review ini dibuat susulan beberapa siri pengembaraan ke Bandung dan sekitarnya sejak 2011 bersama Shiddley Omar dan beberapa rakan dari Sarawak dan Sabah.
Advertisement
Tot: 0.158s; Tpl: 0.012s; cc: 13; qc: 49; dbt: 0.0659s; 1; m:domysql w:travelblog (10.17.0.13); sld: 1;
; mem: 1.2mb